Pasukan operasi penguatkuasaan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas 23 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine yang bernilai RM1.15 juta dalam tiga tangkapan berasingan baru-baru ini.

Ia hasil Operasi Ice Break yang dijalankan di Lapangan Terbang Tawau (LTT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) mulai 22 Jun hingga 4 Julai lalu.

Tangkapan pertama pada 1 Julai melibatkan suspek lelaki berumur 53 tahun di LTT yang baru tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat komersial pada jam 11.40 pagi, membawa bagasi mengandungi dadah seberat 4.193kg yang disorokkan dalam bungkusan teh.

Sehubungan itu, dengan bantuan cawangan Narkotik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Kastam turut menahan seorang lagi suspek perempuan berumur 49 tahun di Nilai, Negeri Sembilan, atas kesalahan yang sama.



Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, dalam tangkapan kedua pada 2 Julai lalu, jam 11.30 pagi, dadah jenis methamphetamine seberat 8kg turut ditemui.

Bahan terlarang itu ditinggalkan dalam tandas Balai Ketibaan LTAKK.

Dadah yang disimpan dalam bungkusan teh. Foto Astro AWANI

"Pada 4 Julai 2020, kira-kira jam 12.34 pagi, satu lagi kes tangkapan dadah jenis methamphetamine diperoleh di LTAKK melibatkan dua lelaki tempatan yang membawa dua bagasi mengandungi 11kg dadah.

"Kesemua dadah 23kg yang berjaya dirampas sepanjang Ops Ice Break yang kita lancarkan sejak 22 Jun lalu bernilai RM1.15 juta," katanya.

Dadah yang dirampas dipamerkan pada sidang media semalam. - Foto Astro AWANI

Menurut Abdullah, semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan, dua daripadanya akan dituduh di Mahkamah Tawau pada Selasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Beliau turut menyeru orang ramai agar tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memerangi penyeludupan dadah di negeri ini.