Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menafikan dakwaan bahawa berlaku satu kemalangan maut setiap hari membabitkan warga Nepal di tempat kerja pada 2018 seperti yang dilaporkan media.

JKKP dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan rekod jabatan menunjukkan sebanyak 23 warga Nepal terlibat dengan kemalangan maut sewaktu bekerja pada 2018.

"Malah statistik JKKP menunjukkan kes kemalangan maut pekerjaan di negara ini merangkumi pekerja tempatan dan warga asing turun daripada 711 kes pada 2017 kepada 611 kes pada 2018.

"Bagi tempoh yang sama, kadar kemalangan maut pekerjaan di negara ini juga turun sebanyak 15.5 peratus daripada 4.90 (jumlah purata) bagi setiap 100,000 pekerja kepada 4.14 bagi setiap 100,000 pekerja," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel dalam ruangan sebuah portal pada Jumaat lepas yang antara lain memetik laporan sebuah akhbar di Nepal, The Kathmandu Post yang mendakwa sebanyak 364 kematian warga Nepal dilaporkan pada 2017, manakala anggaran seorang pekerja rakyat Nepal maut di tempat kerja setiap hari di Malaysia pada 2018.

Sementara itu, mengenai insiden seorang pekerja Nepal maut di sebuah kilang memproses daging di Alor Gajah, Melaka pada 30 Dis lepas, JKKP sedang menyiasat punca kemalangan itu serta pematuhan majikan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) serta Akta Kilang dan Jentera 1967 (AKJ 1967).

Menurut jabatan itu, siasatan akan dilakukan secara telus dan menyeluruh tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit.

"Kedua-dua akta itu memberi perlindungan yang sama rata kepada pekerja tempatan dan pekerja warga asing. Jika terdapat bukti yang kukuh, kes akan dibawa ke muka pengadilan setelah mendapat izin pegawai undang-undang JKKP," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA