Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan menyediakan laporan sosial ekoran kematian seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang didakwa didera pada Isnin.

Laporan itu penting bagi mengenalpasti sama ada wujud unsur kecuaian dalam penjagaan bayi tersebut atau tidak, kata Pengarah JKM Perak, Ruhaini Zawawi.

Katanya, laporan awal mendapati, pengasuh berkenaan tidak mendaftar di bawah JKM sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

"Semakan terhadap laporan sosial ini penting bagi memastikan kes dapat dijalankan dengan tepat.

"Kita akan menemui keluarga bayi dan pihak pengasuh untuk mendapatkan keterangan kedua-dua pihak," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada satu majlis bersama Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing dan ketua-ketua agensi.

Ruhaini berkata, tindakan di bawah peruntukan JKM sukar diambil, bagaimanapun jika wujud salah laku penderaan, tindakan sama boleh dikenakan di bawah Kanun Jenayah.

Sementara itu, Wong dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri bersama agensi terlibat akan mempergiat kempen agar lebih banyak pengasuh di rumah dan pusat jagaan kanak-kanak yang mendaftar dengan JKM.

"Ia sebagai jaminan kepada anak-anak, jadi tanggungjawab ibu bapa pilih pusat jagaan yang tepat, cari mana yang berdaftar dengan JKM," katanya.

Pada Isnin, seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di hospital akibat mengalami pendarahan dalam otak, disyaki didera.

Susulan itu, dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung dan Balai Polis Sungai Senam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan.