Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) akan melantik wakil Orang Asli dalam sesi 2020-2021.

Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata kerajaan akan memperuntukkan satu atau dua tempat buat masyarakat Orang Asli dalam lantikan JKMPKA pada sesi tahun depan.

“Dalam lantikan 2020-2021, saya ingin menambah satu kumpulan agama yang mungkin kami tertinggal atau tidak terfikir sebelum ini.

“Dalam satu mesyuarat yang diadakan bersama masyarakat Orang Asli, mereka mengetengahkan isu-isu agama yang menjejaskan mereka.

“Oleh itu, saya rasa ia wajar supaya kerajaan baharu di era Malaysia Baharu ini memberi pengiktirafan kepada kepercayaan agama masyarakat Orang Asli di negara ini,” katanya pada Majlis Penghargaan Jasamu Dikenang JKMPKA di Dewan Kementerian Sumber Manusia Putrajaya pada Khamis.

Tegasnya, kepercayaan masyarakat Orang Asli tidak harus dilabel sebagai animisme.

“Kepercayaan animisme memberi tanggapan bahawa ia tidak tergolong dalam mana-mana agama dan menyembah pokok dan sungai.

“Saya telah memperbetulkan tanggapan saya bahawa mereka penganut animisme. Agama mereka ialah agama yang berkaitan dengan alam dan kerohanian,” tegasnya.

JKMPKA sesi 2018-2019 terdiri daripada 32 orang yang mewakili agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Taoist, Sikh, Baha'i dan ahli akademik, belia serta wakil Sabah dan Sarawak.

Waytha Moorthy berkata jabatannya telah membuat permohonan khas daripada Kementerian Kewangan bagi membolehkan JKMPKA mengambil peranan lebih aktif dalam menangani isu berkaitan agama dan perkauman.