Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang bermesyuarat hari ini, menerima pakai terma-terma rujukan JKNMPP dan memuktamadkan keanggotaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata antara terma-terma rujukan JKNMPP ialah mengenal pasti, membincang dan menangani isu-isu pembiayaan politik bagi parti-parti politik dan ahli politik.

Selain itu, terma rujukan jawatankuasa itu ialah meneliti dan menilai amalan terbaik, mekanisme undang-undang dan peraturan yang digunakan di negara-negara lain bagi membendung dan mencegah rasuah dalam pembiayaan politik.

Terma rujukan itu juga termasuk meneliti dan menilai sokongan institusi atau rangka kerja yang sesuai bagi menyelia dan memantau pembiayaan politik kepada parti-parti politik dan ahli politik, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menggubal keperluan perundangan dan kawal selia yang sesuai bagi memudahkan pengawasan, ketelusan dan akauntabiliti dalam pembiayaan parti politik; dan mengadakan rundingan dengan parti-parti dan ahli-ahli politik serta kumpulan berkepentingan dan pemegang taruh (stakeholders) lain mengenai mekanisme pembiayaan politik juga merupakan terma rujukan yang dipersetujui JKNMPP.

Low berkata JKNMPP juga memutuskan bahawa membuat syor kepada Jemaah Menteri mengenai undang-undang, peraturan-peraturan dan institusi sokongan yang diperlukan untuk mentadbir dan memantau pematuhan terhadap mekanisme pembiayaan politik adalah terma rujukannya.

Dari segi keanggotaan JKNMPP, beliau berkata jumlahnya tidak boleh melebihi 25 individu yang termasuk tokoh-tokoh masyarakat, wakil-wakil badan bukan kerajaan dan organisasi profesional terpilih.

Menurutnya senarai terkini anggota JKNMPP ialah:

1. Datuk Paul Low Seng Kuan (Pengerusi) - Menteri di Jabatan Perdana Menteri
2. Datuk Seri Idris Jala (Timbalan Pengerusi) - Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu)
3. Dr Anis Yusal Yusoff (Setiausaha) - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia
4. Tan Sri Johan Jaafar - Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah
5. Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman - Mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
6. Tan Sri Rastam Mohd Isa - Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia
7. Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin - Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO)
8. Prof. Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin - Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
9. Datuk Akhbar Satar - Presiden Transparency International Malaysia
10.Wan Saiful Wan Jan - Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas)
11. Dr Gan Peng Sieu - Presiden Bersama Centre for a Better Tommorow (Cenbet)
12. Prof. Madya Dr Madeline Berma - Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim UKM
13. Prof. Madya Dr Sivamurugan Pandian - Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
14. Prof. Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani - Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
15. Richard Y.W.Yeoh - Aktivis masyarakat
16. Akram Yusof - Pemimpin belia
17. Jufitri Joha - Pemimpin belia
18. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Pemimpin belia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 14 Ogos mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik yang komprehensif dan inklusif.

Peranan utama JKNMPP adalah bagi menyediakan proses konsultatif untuk ahli-ahli masyarakat sivil membincangkan cara-cara meningkatkan pematuhan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam kalangan parti-parti politik dan ahli politik dalam pembiayaan politik.

Low berkata jawatankuasa itu akan bermesyuarat 'sebagaimana dan apabila perlu' serta perlu menyelesaikan tugasnya dalam tempoh satu tahun pada 31 Ogos 2016.

"Tahap kerahsiaan yang tinggi hendaklah sentiasa dipatuhi mengikut garis panduan yang akan ditentukan kemudian," katanya.

JKNMPP dibantu oleh sebuah sekretariat yang diuruskan oleh Institut Intergriti Malaysia (IIM) dan satu pasukan teknikal terdiri daripada pakar-pakar yang akan menyediakan kajian dan penggubalan perundangan yang diperlukan untuk menyokong cadangan yang dibuat jawatankuasa itu, katanya.

Pasukan teknikal itu akan dipengerusikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM.

Low berkata JKNMPP boleh mengadakan forum awam khas untuk perbincangan serta mendekati kumpulan berkepentingan lain.

Hujahan bertulis dari pihak yang berminat juga boleh dihantar kepada Urusetia JKNMPP, di alamat Institut Intergriti Malaysia, Menara Intergriti, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, off Jalan Tuanku Abdul Halim, 50480 Kuala Lumpur atau faksimili 03-62092090 atau email [email protected].