Tutup

JKR Johor diminta kenal pasti jalan terjejas akibat banjir

JKR Johor diminta kenal pasti jalan terjejas akibat banjir
Mersing mencatatkan mangsa banjir tertinggi dengan seramai 1,262 orang daripada 352 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara pagi ini. Foto ihsan JBPM/APM
JOHOR BAHRU: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diminta supaya mengumpul data dan mengenal pasti jalan-jalan yang terjejas akibat bencana banjir di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata ia bagi memudahkan pihaknya memantau keadaan jalan terbabit sama ada selamat untuk dilalui oleh semua kenderaan atau sebaliknya.

Beliau berkata ia sebagai langkah awal untuk pihaknya menjalankan penambahbaikan seperti penurapan terhadap jalan berkenaan.

"Saya juga telah arahkan pihak kakitangan syarikat konsesi jalan supaya mengambil langkah keselamatan seperti meletakkan tanda amaran di laluan terjejas," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata bagi mengelakkan perjalanan tergendala atau perkara buruk berlaku, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan mendapatkan maklumat terkini dari Bilik Gerakan Banjir negeri.

BACA: Jumlah mangsa banjir Johor terus meningkat 
Terdahulu, Solihan memaklumkan beliau telah melawat kawasan tebing Jalan Utama Tenggaroh-Tanjung Leman di Mersing, pada Sabtu, yang dilaporkan runtuh, berikutan limpahan air banjir.

Katanya beliau difahamkan kejadian berlaku kerana pembentung di kawasan itu tidak dapat menampung kapasiti air lalu menyebabkan air melimpah sehingga ke bahu jalan dan mengakibatkan tanah runtuh.

"Setakat ini laluan jalan berkenaan tidak ditutup dan bahu jalan terbabit telah ditimbus dan ditutup dengan menggunakan kanvas. Pengguna jalan raya di kawasan Tenggaroh boleh menggunakan laluan alternatif menerusi Jalan Tanjung Kuala Sedili, Perani dan Mawai," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataan petang semalam pula memberitahu lima laluan di dua daerah di Johor telah ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air dan mengalami tanah runtuh.

VIDEO: Hakisan teruk di jalan utama Tenggaroh

Tiga laluan itu terletak di daerah Kota Tinggi, yang merangkumi Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong yang kesemuanya berhampiran Kampung Tunjuk Laut.

Dua lagi laluan ialah di Mersing meliputi Jalan Tenggaroh 3 menuju ke Mawai/ Kota Tinggi/ Sedili serta Jalan Endau Batu 12 ke Rompin.

-- BERNAMA