Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Johor harap Singapura beri kerjasama benar rakyat Malaysia pulang berperingkat

Johor harap Singapura beri kerjasama benar rakyat Malaysia pulang berperingkat
Menurut Hasni, kerajaan negeri juga mungkin menjadikan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat sebagai hospital yang merawat kes COVID-19.
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor berharap Singapura akan memberikan kerjasama untuk membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu pulang ke tanah air secara berperingkat berikutan keputusan negara tersebut menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan, berkuat kuasa Selasa ini (7 April).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, usaha itu perlu dilakukan kerana kerajaan negeri tidak akan dapat menguruskan ribuan rakyat Malaysia yang ingin pulang pada satu-satu masa.
Beliau berkata langkah Indonesia yang mengisytiharkan darurat turut meningkatkan kebimbangan bahawa akan terdapat lebih ramai rakyat Malaysia di luar negara pulang ke tanah air.

"Johor ini unik sedikit kerana kita ada dua pintu masuk utama iaitu Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar selain empat terminal feri antarabangsa.
"Jika mengikut statistik, hampir 45,000 rakyat kita masih di Singapura... saya percaya apabila kerajaan Singapura mengenakan langkah ketat bermula 7 April, kita jangka lebih ramai pekerja kita akan pulang.

"Selain Singapura, Indonesia juga membuat (darurat), jadi ramai rakyat kita di sana turut akan pulang. Jadi, di sinilah kita perlukan kerjasama daripada Singapura untuk menguruskan rakyat Malaysia yang hendak balik secara berperingkat dan bukannya semua puluhan ribu balik kerana ini akan menyulitkan kita untuk
urus pusat-pusat kuarantin," katanya semasa ditemu bual oleh stesen radio RTM, Johor FM, di sini hari ini.


Hasni berkata, pihaknya amat menghargai jika Singapura membenarkan rakyat Malaysia pulang ke negara ini dalam jumlah 1,000 atau 2,000 orang sehari.

"Apabila ini dilakukan, sudah tentu kita dapat menguruskan pusat-pusat kuarantin kerana bagi pekerja dari Malaysia, walaupun mereka sudah didapati negatif dan tidak mempunyai sebarang simptom mereka tetap harus menjalani kuarantin di rumah dan yang positif pula akan terus dibawa ke pusat-pusat kuarantin yang ada di dalam negeri," katanya.

Beliau berkata setakat ini, Johor memiliki 14 pusat kuarantin selain tiga hospital yang merawat kes COVID-19 iaitu Hospital Permai, Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan hospital sementara di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru.

Katanya, kerajaan negeri juga mungkin menjadikan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat sebagai hospital yang merawat kes COVID-19 dan perkara itu sedang dikemas kini.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan pusat data bantuan bencana di daerah-daerah bagi memastikan orang sama tidak menerima bantuan berulang kali sedangkan ada pihak yang layak tetapi tidak menerimanya.

"Melalui pusat data di daerah ini, kerajaan negeri akan mendapat maklumat yang diperlukan untuk memastikan bantuan diberi sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya. - BERNAMA


 






Tag: Ir Hasni Mohammad, Kementerian Kesihatan, Singapura, Johor Bahru, koronavirus, kesihatan, Malaysia, Menteri Besar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.