Jokowi, isteri diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana

Jokowi, isteri diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) mengiringi Presiden Indonesia Joko Widodo memeriksa barisan kehormat daripada Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo yang tiba di sini pada Khamis untuk lawatan kerja selama dua hari, diberi sambutan penuh istiadat di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, pagi ini.

Ketibaan beliau yang mesra disapa Jokowi pada jam 10.30 pagi disambut perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Jokowi kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri-menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.


Jokowi dan Dr Mahathir kemudian mengadakan pertemuan empat mata untuk berbincang mengenai isu dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

Kedua-kedua pemimpin dan isteri kemudian dijadual ke kediaman rasmi Dr Mahathir di Seri Perdana bagi majlis jamuan makan tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini.

Indonesia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah RM72.02 bilion (US$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (US$16.62 billion) pada 2017.



Tag: Joko Widodo, Mahathir Mohamad, Iriana Joko Widodo, Jokowi, Malaysia, Indonesia, Presiden Indonesia, Bapoak Jokowi, Perdana Menteri


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.