Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan ia melaksanakan penguatkuasaan dalam kawasan sekolah termasuk mengenakan saman ke atas pelajar yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron berkata kehadiran pihaknya di sekolah bermula bulan lalu adalah untuk kempen keselamatan dan penguatkuasaan bagi pelajar.

"Program ini dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pendidikan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

"Tujuan utamanya ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa mengenai peraturan jalan raya selain kepentingan mempunyai lesen yang sah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ Daerah Kinta di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai gambar anggota JPJ mengeluarkan saman kepada pelajar sekolah dan meminta mereka membayar saman baru-baru ini yang tular menerusi media sosial.

Nadzri menjelaskan gambar yang tular tersebut merupakan sebahagian daripada kempen keselamatan dan penguatkuasaan terhadap pelajar sekolah di seluruh negara bulan lalu.

"Sebanyak tiga sekolah akan dipilih untuk program itu di setiap negeri," katanya.

Beliau turut menjelaskan semasa kempen itu, pelajar yang dikesan mempunyai rekod kesalahan akan diberi notis arahan temu siasat bagi membolehkan JPJ menjalankan pemeriksaan lanjut serta memberi khidmat nasihat kepada mereka.

-- BERNAMA