Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di semua sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid, ia adalah selaras dengan kenyataan media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.

"JPJ akan berhubung dengan pihak PDRM bagi tujuan penyelarasan tugasan dan pengaturan anggota supaya operasi yang dirancang mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"JPJ sentiasa komited dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat khususnya dalam situasi pandemik COVID-19 ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

PKP yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu kini memasuki fasa kedua yang akan berakhir pada 14 April ini.