Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi tumpuan lori hantu terutama di kawasan pembinaan dan perindustrian.

Pengarahnya, Nazli Md Taib, berkata operasi turut dilakukan ke atas lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan.

"Selangor ini negeri industri, kalau ratio anggota dengan penduduk Selangor ini kita memang tidak dapat tampung. JPJ akan beri keutamaan kepada kawasan yang banyak aktiviti lori hantu muatan lebih ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat JPJ Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut Nazli, JPJ sentiasa melakukan pemantauan lori hantu dan bukan hanya bertindak apabila berlaku sesuatu kes termasuk kemalangan yang menyebabkan dua pelajar terbunuh di hadapan SMK Bandar Damai Cheras baru-baru ini .

"Setiap hari operasi sama saja. Ini kes terpencil. Apabila berlaku kemalangan macam ini ia dapat liputan besar. Namun anggota kita sentiasa ada di situ di sekolah tersebut supaya tiada kenderaan (lori hantu) lalu kawasan tersebut," tambah beliau.

JPJ bagaimanapun menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan.

Tambahnya, operasi pemeriksaan lori hantu akan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai dan hasil rondaan pasukan jabatan itu.

Justeru katanya, mana-mana pemandu atau pemilik lori hantu yang didapati bersalah melakukan kesalahan akan disaman dan didakwa di mahkamah.

Dalam kejadian 14 Januari lalu, dua pelajar maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah lori hantu terbabas dan melanggar 18 kenderaan di hadapan SMK Bandar Damai Perdana, Cheras.

Mangsa maut dikenali sebagai Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen.