Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji sistem dan prosedur kerja di keseluruhan bahagian badan penguatkuasa itu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid jawatankuasa khas itu telah ditubuhkan minggu lepas dan diketuai oleh Ketua Pengarah Bahagian Integriti JPJ.

Bagaimanapun jawatankuasa itu tidak hanya menumpukan kepada kes rasuah di Pulau Pinang namun usaha penambahbaikan secara keseluruhan badan penguatkuasa itu.

"Kita mahu menkaji dan membuat analisis jurang (gap analysis) tentang kenapa berlaku ruang dan peluang rasuah dalam JPJ dan laporan oleh jawatankuasa khas ini akan disiapkan dalam tempoh dua minggu.

"Kadangkala sistem dah lama terdapat ketirisan yang perlu dilihat dan kita kena tengok balik semua sekali supaya sesuatu tindakan dapat diambil.

"Laporan berkenaan juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada keperluan," katanya dalam satu sidang media Ops Tutup, di Putrajaya, pada Sabtu.

Sementara itu, beliau turut menyatakan tiada rombakan akan dilakukan buat masa ini terhadap JPJ Pulau Pinang dan akan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan yang dijalankan.

"Moral kakitangan JPJ di Pulau Pinang masih sama, operasi penguatkuasa juga diteruskan seperti biasa dengan bantuan dari JPJ bahagian Zon Utara," katanya.

Pada masa yang sama, Shaharuddin turut sekali lagi memberi amaran kepada semua kakitangannya agar mementingkan integriti ketika menjalankan tugas.

"Sikap tanggungjawab kena ada, sila laporkan kepada pegawai atasan sekiranya ada pihak yang cuba memberi rasuah. Begitu juga dengan orang awam, jika ada anggota atau pegawai JPJ yang meminta rasuah sila laporkan kepada pihak berwajib," katanya.