Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang akan memberikan khidmat kaunseling kepada empat beradik bagi memulihkan semangat mereka susulan kematian bapa akibat kemalangan jalan raya di Perai, Ahad lepas.

Pengarahnya, Abdul Rashid Abd Samad, berkata sesi khidmat kaunseling itu akan diberikan selepas mereka kembali semula ke sekolah Isnin depan.

Katanya setakat hari ini, keempat-empat adik beradik itu masih terkesan dengan kejadian yang menimpa ibu bapa mereka dan tidak dapat hadir ke sekolah buat sementara waktu.

Justeru, pihaknya berharap langkah yang diambil JPN itu dapat membantu memulihkan semangat pelajar berkenaan.

"Sekiranya anak-anak ini memerlukan bantuan sokongan moral dan sebagainya, (pihak kami) akan usahakan sebaik mungkin (supaya semangat mereka kembali pulih.

"Dengan bantuan kaunselor di JPN, guru besar juga dimohon agar sentiasa mendekati anak-anak ini dan tanya khabar dan ambil peduli tentang nasib anak-anak ni," ujar Abdul Rashid.

VIDEO: Lima beradik yatim sekelip mata selepas kemalangan di Butterworth

Abdul Rashid berkata, selain sesi kaunseling pihak JPN juga turut membuka tabung kutipan bagi membantu keluarga berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas melawat lima beradik berkenaan yang kini tinggal bersama datuk mereka, Hassan Ismail, di Jalan Mohd Saad, Butterworth, buat sementara waktu.

Pada pertemuan itu, pihak JPN turut menyampaikan bantuan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban.

Nur Afini Nirwana, 16, dan Nur Istina Nadira, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kampung Kastam, sementara dua lagi adiknya Nur Erna Nabila, 12, dan Nur Qurratul Ain, 7 bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal manakala adik bongsu berusia 9 bulan.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Nur Afni Nirwani Khairizul, 16, berkata ibunya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSJ dan dalam keadaan koma namun mula menunjukkan perkembangan positif iaitu telah dapat menggerakkan jari tangan serta kaki jika disentuh.

Malah ibunya juga mengalirkan air mata apabila beliau dia dan dua adiknya, Nur Istna Nadira, dan Nur Erna Nabila memanggil ibunya ketika melawat di hospital manakala dua lagi adiknya Nur Qurratul Ain, dan Muhammad Khairi Zafran berusia 9 bulan tidak dibenarkan masuk ke dalam wad ICU.

"Mak ada perubahan sikit, air mata dia keluar (mengalir) kemudian menunjukkan pergerakan (dengan lebih) kuat," ujar Nur Afni.

Dalam kejadian jam 5.05 pagi Ahad lalu, Khairizul Mohamad Noor, 39, maut selepas motosikal ditunggang bersama isterinya Zuriana dirempuh kereta dipandu lelaki yang dipercayai mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Prai.

Zuriana cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dipindahkan ke HPP.