Tindakan menjual MyKad dan sijil lahir kepada warga asing disifatkan sebagai satu pengkhianatan besar kepada negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam perkara ini.

"Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam apa jua siasatan yang membabitkan kes ini atau kes-kes seumpama ini," memetik kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap tangkapan melibatkan 20 orang individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang terlibat dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil lahir kepada warga asing.

Menurut beliau, proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk mengikut proses sedia ada dan tidak sama sekali cuba untuk mendapatkan apa jua jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Malah, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah untuk memaklumkan terus kepada PDRM.