Jualan Sentuhan Rakyat akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak

Jualan Sentuhan Rakyat akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak
Ahmad Zahid melayani para pelanggan yang sedang membeli daging segar pada Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Bagan Datuk hari ini. - BERNAMA
BAGAN DATUK: Program Jualan Sentuhan Rakyat yang mendapat sambutan memberangsangkan sepanjang tempoh perlaksanaannya bakal diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan program yang diinspirasikan kerajaan di kedua-dua negeri akan memberikan peluang yang sama-rata bagi rakyat meringankan kos sara hidup dengan membeli barangan keperluan yang lebih murah berbanding biasa.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menambah, pengembangan program jualan itu juga menunjukkan tahap keprihatinan kerajaan dengan harga pasaran barangan asas yang semakin meningkat.
"Mana nak dapat beli ayam seekor dengan harga RM5, daging RM10, telur sepapan dengan harga hanya RM5 sahaja? Semua ini dapat dibeli melalui program ini sahaja.

"Justeru, kita akan memperluaskannya ke Sabah dan Sarawak dengan harapan melalui penganjuran program ini, barangan dijual dengan harga yang lebih rendah sebanyak 50 hingga 70 peratus daripada harga pasaran," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian selepas melakukan tinjauan program berkenaan di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk di Rungkup di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausahanya Datuk Seri Jamil Salleh.

Sementara itu, Hamzah berkata harga barangan yang dijual pada program itu merupakan yang termurah setakat ini.

Lebih kurang 3,000 pengunjung membanjiri perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk demi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti daging lembu, beras dan sebagainya.