Jualan Sentuhan Rakyat tiada kaitan dengan GST - Idris Haron

Jualan Sentuhan Rakyat tiada kaitan dengan GST - Idris Haron
Orang ramai mengambil kesempatan membeli barang pada harga murah di program Jualan Sentuhan Rakyat di Santubong, Sarawak pada 14 April. - BERNAMA
SUNGAI UDANG: Program Jualan Sentuhan Rakyat tiada kaitan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang disebut-sebut oleh parti pembangkang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron membidas kenyataan pihak pembangkang dan beranggapan mereka ketandusan idea selepas tidak lagi mendapat sokongan pengundi.

Beliau berkata, tuduhan pihak lawan yang mendakwa program berkenaan merupakan suatu pembaziran adalah tidak berasas sedangkan ianya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya nampak pihak pembangkang sudah tidak ada isu yang hendak diketengahkan sehingga Jualan Sentuhan Rakyat yang hebat seperti ini pun dikatakan unsur pembaziran.

"Ini bukan pembaziran, ini sesuatu yang boleh memanfaatkan semua orang.
"Bila mereka (pembangkang) tidak mendapat sokongan pengundi, mereka kata membazir. Kalau perkara itu memberi manfaat kepada pembangkang, mereka kata okay.

"Pada saya, yang banyak membazir ialah pembangkang. Negara kita dah selamat dan makmur, mereka masih nak ‘selamatkan’ kita. Saya jawab, selamatkan Malaysia daripada Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jualan Sentuhan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, di Taman Terendak Permai di sini, hari ini.

Pembangkang sebelum ini mendakwa rakyat berpusu-pusu membeli barangan di program Jualan Sentuhan Rakyat itu kononnya disebabkan peningkatan harga akibat GST selain mendakwa tidak praktikal.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui Astro AWANI nyata teruja dengan program tersebut yang menjanjikan harga barangan lebih murah berbanding harga di pasaran.

Mereka berharap, sesiapa pun yang diberi mandat untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei nanti akan meneruskan program berkenaan sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

"Semua barang di sini murah. Kita kesian kepada rakyat yang susah. Bila buat macam ni, kita borong pun seronok. Memang rebut peluang nak pergi,” kata seorang pengunjung, Norfabila Abd Aziz.

Seorang lagi pengunjung, Zarizal Mohd Yazid, turut berharap program tersebut dapat diteruskan selepas PRU14 nanti.

"InsyaAllah, saya minta sesiapa pun yang mentadbir negara selepas ini, teruskan program ini. Program sebegini boleh membantu rakyat macam saya di mana gaji pun murah."