Keadaan banjir menunjukkan peningkatan dan penurunan di beberapa kawasan di utara serta pantai timur Semenanjung.

Bagi negeri Kelantan, keadaan banjir dilihat beransur pulih apabila jumlah mangsa banjir dilihat berkurangan daripada 11,278 orang pada hari sebelumnya berbanding 10,608 orang hari ini.

Trend penurunan sama turut ditunjukkan di Perak apabila hanya 77 mangsa yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di negeri itu berbanding 130 mangsa sebelum ini.

Namun, bagi negeri Terengganu, berlaku sedikit peningkatan kepada 1,479 sehingga jam 8 pagi tadi berbanding 1,148 yang dicatatkan lewat malam Sabtu.

Sementara itu, Pahang mula dilanda banjir dengan 47 penduduk daripada 14 keluarga di dua kampung di Raub menjadi mangsa banjir pertama dipindahkan di negeri ini selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Zainal Yusof berkata dua pusat pemindahan sementara yang dibuka ialah di Surau RRM Cheroh 3, yang mula dibuka kira-kira 9.30 malam tadi dengan menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

"Manakala Balairaya Kampung Ulu Sungai pula mula dibuka 11.30 malam bagi menempatkan 37 mangsa daripada 12 keluarga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainal, hanya paras air Sungai Lipis di Batu Malim Raub yang menunjukkan bacaan paras bahaya 115.68 meter dan sedang dalam trend menaik, yang berisiko melimpah kawasan sekitar.