Kerajaan hari ini mendedahkan bahawa jumlah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan bank-bank tempatan ialah RM5.037 bilion.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kewangan itu turut menyatakan bahawa hutang tersebut merupakan hutang syarikat milik penuh kerajaan itu sehingga Januari 2015.

“Sehingga Januari 2015, jumlah hutang 1MDB dengan bank-bank tempatan adalah sebanyak RM5.037 bilion,” kata jawapan itu ringkas.

Najib menjawab soalan Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan setiap hutang 1MDB dengan bank-bank tempatan sehingga Januari 2015.

Kerajaan pada minggu lalu memaklumkan telah menyuntik sebanyak RM950 juta sebagai kredit tersedia sementara sebelum syarikat itu melancarkan tawaran awam permulaan (IPO).

Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 1MDB juga dijangka pulih daripada masalah aliran tunai yang dihadapi ketika ini pada penghujung tahun 2015.

1MDB kini sedang mengambil beberapa langkah strategik termasuk mengkaji perasionalan tanah-tanah yang berada di bawah milik syarikat itu.

Menurut beliau, syarikat pelaburan strategik kerajaan itu juga dijangka akan melancarkan IPO pada Jun atau Julai ini.