Jumlah ibu bapa yang menggunakan aplikasi saringan bagi mengawal selia penggunaan internet di kalangan kanak-kanak masih rendah, sekali gus mendedahkan anak-anak kepada pelbagai kandungan tidak sesuai bagi usia mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata berdasarkan 'Internet User Survey 2018' yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), hanya 12.2 peratus daripada ibu bapa menggunakan perisian tersebut, sedangkan 62.4 peratus daripada mereka mengetahui mengenai aplikasi berkenaan.

"Justeru itu, kesedaran perlu bermula dari keluarga itu sendiri. Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak agar tidak mudah dipengaruhi untuk melayari laman-laman web yang tidak membawa faedah.

"Perkara sebegini perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana peranti yang digunakan untuk mengakses Internet itu adalah di bawah pengawalseliaan individu dan keluarga masing-masing," katanya menjawab persoalan Senator Asmak Husin dalam ucapan penangguhannya di persidangan Dewan Negara, pada Isnin.

Asmak yang memetik laporan akhbar 2 Julai lalu mengenai kes pelajar sekolah rendah 12 tahun merogol anak asuhan ibunya kerana terangsang dengan video yang dilihat melalui telefon bimbit mahu mendapatkan penjelasan pihak kementerian mengenai isu akses mudah video pornografi oleh kanak- kanak dan remaja.

Di pihak kementerian, menurut Eddin Syazlee antara tahun 2018 sehingga Jun 2019, sejumlah 80 kertas siasatan telah dibuka pihak SKMM berhubung kandungan lucah dan kesemuanya telah dihadapkan ke mahkamah, manakala sejumlah 3,973 laman pornografi telah disekat dari tahun 2016 sehingga Jun 2019.

"Kandungan berunsur lucah sememangnya menjadi kesalahan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, atau di platform penstriman video seperti YouTube.

"Kerjasama dan koordinasi telah sedia terjalin antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui SKMM dengan pihak penyedia platform yang terlibat bagi isu khusus seperti ini, di mana kandungan yang dilaporkan akan dinilai berdasarkan terma dan syarat ditetapkan mereka, seterusnya dipadamkan sekiranya didapati melanggar terma dan syarat, serta piawaian komuniti yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah merangka Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber 2015-2020 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang digubal dengan menekankan empat aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, intervensi dan khidmat sokongan.

Katanya, pihak terlibat dalam pelaksanaan pelan tindakan ini termasuk KPWKM, KKMM, SKMM, CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga syarikat swasta.

Persidangan bersambung Rabu.

-- BERNAMA