Bilangan mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 13,732 orang di 60 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat jam 8.30 pagi.

Daripada jumlah itu, 5,408 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di enam daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang.

Berdasarkan Portal E-Banjir Kelantan, Pasir Mas terus mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi, tetapi berkurangan sedikit kepada 9,236 mangsa daripada 3,909 keluarga yang dipindah di 36 PPS berbanding 9,414 orang, malam tadi.

Bagaimanapun, Tumpat menyaksikan peningkatan kepada 3,302 mangsa banjir membabitkan 1,152 keluarga ditempatkan di lapan PPS berbanding 3,251 orang malam tadi.

Pasir Puteh pula mencatatkan 814 mangsa daripada 242 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan, manakala Tanah Merah seramai 104 orang daripada 29 keluarga di tiga PPS.