Statistik jumlah pengunjung ke premis perniagaan di sekitar bandaraya Kuching meningkat secara drastik sejak bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 12 Mei lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kadar pematuhan rakyat Sarawak terhadap garis panduan yang dikeluarkan adalah memuaskan.

Malah, kata beliau, pemantauan terhadap sekumpulan kecil awam yang masih ingkar dengan arahan tetap giat dilaksanakan.

“Buat masa ini kita masih mengambil langkah menasihati tetapi sekiranya masih ingkar meskipun menghampiri tamat tempoh PKPB pada 9 Jun, maka tindakan menguatkuasa undang-undang akan diambil oleh pihak polis," katanya.

Uggah berkata demikian pada sidang media harian COVID-19 JPBNS di Bangunan DUN Lama di Kuching pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas perbandingan harga barangan keperluan asas di kawasan luar bandar yang lebih tinggi.

“Memang diketahui umum, kos pemunggahan barangan ke kawasan pedalaman mempengaruhi kenaikkan harga barangan keperluan.

“Kerajaan Sarawak sudah mempunyai program sedia ada untuk mengatasi isu terbabit iaitu menerusi Program Penyeragaman Harga, " jelasnya.

Menurut Uggah, antara inisiatif yang diambil di bawah program tersebut adalah dengan menanggung kos logistik tong gas ke kawasan luar bandar seperti yang dilakukan di Bario bagi memastikan harganya sama dengan jualan di Miri.