Jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta terlalu besar dan perlu dikurangkan, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, jumlah berkenaan meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

“Apabila saya letak jawatan jumlah anggota pentadbiran hanya satu juta sahaja sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta, peningkatan sebanyak 700,000 lagi.

“Saya berpendapat bahawa saiz pentadbiran kita itu terlalu besar, sebaliknya dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya kita boleh kurangkan saiz ini,” katanya dalam sesi soal jawab ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan, di sini pada Khamis.