Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Jumlah sebenar tuntutan konsesi balak bernilai RM1.5 bilion - Sanusi

Jumlah sebenar tuntutan konsesi balak bernilai RM1.5 bilion - Sanusi
Status Ulu Muda sebagai Hutan Simpan dan kawasan tadahan akan dipertahankan untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar seperti yang telah digazetkan sebelum ini. Gambar fail
ALOR SETAR: Jumlah tuntutan ganti rugi yang dikemukakan syarikat yang telah dibatalkan kelulusan konsesi pembalakan di Kedah kini mencecah RM1.5 bilion, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata sebelum ini, tuntutan itu sebanyak RM1 bilion melibatkan kira-kira 40 syarikat dengan jumlah 131 kelulusan konsesi dan kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda.
"Cadangan yang kita buat untuk hadapi situasi ini (tuntutan ganti rugi) ialah mempertimbang untuk ganti kawasan (pembalakan) lain di luar kawasan tadahan... Kawasan ganti itu mestilah tidak beri kesan kepada alam sekitar seperti hakisan dan penggondolan.

"Jabatan Perhutanan, sebagai pegawai pengawal hutan di negeri ini, akan ambil langkah bersesuaian dengan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP). Ada kaedah, cadangan dan proses untuk pastikan pembalakan tak bawa kesan negatif kepada semua," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Beliau mengulas laporan berita yang menyatakan kerajaan negeri akan membuka semula konsesi balak bagi mengelak bayaran tuntutan saman yang dikemukakan syarikat pembalakan.

Muhammad Sanusi berkata perkara itu sebenarnya hanya cadangan dan bertujuan menyelesaikan masalah berbangkit setelah kelulusan konsesi yang diberikan kepada syarikat pembalakan dibatalkan kerajaan negeri sebelum ini, sedangkan syarikat terbabit telah membayar premium.

Difahamkan jumlah premium keseluruhan ialah RM228 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM107.5 juta telah dijelaskan oleh syarikat pembalakan.

"Kalau sampai ke peringkat mahkamah, nak bayar balik (tuntutan) hampir RM200 juta sakit juga. (Jadi) Apa juga rintangan mesti dihadapi dengan semua kaedah yang ada," katanya.

Beliau berkata apabila berhadapan dengan tindakan mahkamah, pilihan yang ada ialah membayar ganti rugi atau menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat terbabit.

Katanya, status Ulu Muda sebagai Hutan Simpan dan kawasan tadahan akan dipertahankan untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar seperti yang telah digazetkan sebelum ini.

Keputusan kerajaan negeri untuk membeku dan menghentikan pembalakan dalam kawasan tadahan air itu dibuat dalam satu mesyuarat pada 30 Ogos 2018.