Seramai 454 individu ditahan dalam tempoh 24 jam lalu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah itu meningkat berbanding 403 tangkapan pada Selasa.

"Berbanding semalam, kadar tangkapan ini meningkat kepada 13 peratus. Ini kerana masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang degil dan ingkar PKP ini.

"Daripada 454 individu yang ditahan semalam, jumlah direman adalah seramai 380 orang dan seramai 74 orang dijamin (dibebaskan dengan jaminan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media PKP di Putrajaya pada petang Rabu.

Jelas Ismail, sehingga Selasa, jumlah keseluruhan individu yang ditahan kerana ingkar PKP adalah seramai 6,905 orang dengan 630 individu telah dituduh di Mahkamah.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 758 sekaran jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 441,893 kenderaan.

Katanya, sebanyak 35,263 pemeriksaan mengejut telah dijalankan dan sebanyak 5,580 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.