Niat seorang lelaki untuk keluar ke kedai terhenti selepas terlihat sebuah kotak berisi seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di luar rumahnya di Taman Serting Indah, Jempol pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata, bayi cukup sifat itu ditinggalkan di atas tembok pagar rumah lelaki berkenaan sekitar 9.20 pagi tadi.

“Lelaki berusia 46 tahun itu hendak keluar ke kedai sebelum tiba-tiba dia terperasan sebuah kotak lalu memeriksanya.

“Apabila buka kotak tersebut, dia mendapati seorang bayi perempuan masih hidup dipercayai ditinggalkan seseorang sebelum tampil membuat laporan polis sekitar 9.45 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.