Kehadiran Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke pelancaran Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa adalah tanda penghargaan semasa Timbalan Perdana Menteri itu menjadi doktor dahulu.

Jelasnya, ia sekali gus permintaan untuk masyarakat menghargai kaum ibu sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan sama dengan Hari Jururawat Antarabangsa.

"Saya datang kerana saya menghargai jururawat yang menolong semasa saya bekerja sebagai seorang doktor dahulu.

"Juga hari ini bersamaan dengan Hari Ibu, selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu dalam dunia terutama di Malaysia.

"Hargailah ibu, kita mesti menyanjungi ibu kerana ibulah yang membawa dan mendidik kita di dunia ini daripada kecil," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Hari Jururawat Antarabangsa di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Ahad.

Semasa ucapannya, Dr Wan Azizah mahu jururawat mengimbangi antara kerjaya dan kehidupan peribadi masing-masing.

Akuinya, kerjaya di dalam bidang perubatan memberi tekanan yang sangat kuat dan jururawat perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan belajar teknik-teknik baharu.

Hari Jururawat disambut pada 12 Mei setiap tahun sempena kelahiran pengasas kejururawatan moden, Florence Nightingale.