Seorang jurureka grafik wanita menjadi mangsa terbaru sindiket penipuan yang menggunakan aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) apabila wang simpanannya berjumlah RM19,998 lesap selepas dia menyerahkan maklumat akaun bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 27 tahun dari Butterworth menjadi mangsa penipuan selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa dirinya adalah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabtu lepas.

Lelaki itu kemudiannya memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perlu menjelaskannya secepat mungkin.

Panggilan mangsa kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk buat laporan atas talian.

Norzainy berkata, mangsa kemudian diminta memuat naik aplikasi BNM dan mangsa yang percaya mengisikan segala maklumat peribadi dan perbankan miliknya.

Jelasnya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia tidak dapat 'log in' akaun miliknya berikutan kata laluan sudah ditukar.

Susulan itu, mangsa terus membuat semakan dengan pihak BNM dan mendapati wang miliknya berjumlah RM19,998 sudah dipindahkan ke akaun bank tidak dikenali.

Jelas Noorzainy, menyedari dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan itu mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.