announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Juruteknik ditemui maut di tangga pangsapuri, dipercayai dibunuh

Juruteknik ditemui maut di tangga pangsapuri, dipercayai dibunuh
Mayat Pusparajan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat. - Astro AWANI/HILMI MALIK
PETALING JAYA: Seorang juruteknik maut dipercayai dibunuh dalam satu kes pergaduhan di Bandar Saujana Damansara pada awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan leher.

"Polis terima panggilan sekitar jam 1.20 pagi sebelum menggerakkan pasukan forensik ke lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan leher," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mangsa, Pusparajan Ganesan, 24 tahun, ditemui maut di kawasan tangga sebuah pangsapuri dalam keadaan berlumuran darah.

Pihak polis sedang giat memburu seorang suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.