Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Juruwang didakwa salah guna wang pelanggan RM45,000

Juruwang didakwa salah guna wang pelanggan RM45,000
Bagi tuduhan ketiga, Nurul Hazariah (gambar) didakwa dengan curang mengeluarkan wang milik seorang pelanggan lain juga RM10,000 di bank yang sama pada 5 April lalu. - Astro AWANI
IPOH: Seorang bekas juruwang di sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang pelanggan berjumlah RM45,000 tahun lalu.

Tertuduh Nurul Hazariah Abdul Latif, 28, memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curang mengeluarkan wang tanpa kebenaran sebanyak RM10,000 dari akaun seorang pelanggan di bank CIMB cawangan Ipoh Garden, kira-kira pukul 2.47 petang, 19 April 2019.

Dia juga dituduh mengeluarkan wang pelanggan yang sama sebanyak RM10,000 kira-kira pukul 3.45 petang, 15 Mei 2019.
Bagi tuduhan ketiga pula, Nurul Hazariah didakwa dengan curang mengeluarkan wang milik seorang pelanggan lain juga RM10,000 di bank yang sama pada 5 April lalu.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, dia dituduh mengeluarkan wang milik dua pelanggan berasingan, masing-masing RM10,000 dan RM5,000 di bank yang sama pada 9 Mei dan 30 April 2019.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 untuk kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnain Shah Abdul Malek.