JUTAWAN Koon Yew Yin meminta maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ekoran kenyataannya yang telah menyinggung dan menghina anggota tentera.

Dalam surat permohonan maaf yang ditulisnya, Yew Yin mengakui kesilapannya kerana kenyataannya anggota tentera hanya makan dan tidur.

Menurut portal berita Utusan Online, Yew Yin turut menyatakan kekesalannya kerana menggunakan perkataan yang menghina dengan mencadangkan anggota tentera membantu kerja ladang di Felda.

"Saya telah menulis surat meminta maaf kepada anggota tentera di atas kesilapan saya.

"Saya kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina ketika meminta anggota tentera yang merupakan bahagian terbesar dalam perkhidmatan awam supaya membantu Felda.

"Saya tiada niat untuk menghina sesiapa. Saya meminta maaf di atas kesilapan saya. Saya benar-benar menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota tentera kepada negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Pada 14 Ogos lalu, Yew Yin meminta maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam laman blognya yang mengatakan anggota tentera hanya makan dan tidur.