Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kabinet baharu cipta sejarah, tidak semua presiden parti dilantik menteri

Kabinet baharu cipta sejarah, tidak semua presiden parti dilantik menteri
Buat pertama kali, kerajaan baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin tidak menyenaraikan beberapa presiden parti di dalam Kabinetnya termasuk Ahmad Zahid, Abdul Hadi, Abang Johari dan Vigneswaran.
KUALA LUMPUR: Pengumuman senarai jemaah menteri kerajaan gabungan baharu kali ini melakar sejarah tersendiri, apabila tidak seperti sebelum ini yang secara tradisinya menyaksikan pemimpin-pemimpin utama parti, diberikan tempat di dalam barisan Kabinet.

Sebaliknya buat pertama kali, kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak menyenaraikan beberapa presiden parti di dalam Kabinetnya, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden MIC S Vigneswaran, dan Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, juga dilihat tercicir daripada memegang sebarang jawatan menteri.

Pembahagian jawatan di dalam Kabinet mengikut parti pula menyaksikan 10 ahli parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); sembilan ahli UMNO; PBB (empat); PAS (tiga); dan masing-masing seorang dari Parti Bersatu Sabah (PBS), MIC dan MCA, dilantik untuk menerajui kementerian.
Ahli Bersatu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan); Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)); dan Datuk Seri Rina Mohd Harun (Menteri Wanita dan Keluarga).

Selain itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan); Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia); dan Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Barisan Kabinet dari UMNO pula ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan); Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan); Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi); Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli); Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan);

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar); Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara); dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan).



Kabinet kali ini juga menyaksikan PAS kembali dalam kerajaan Persekutuan selepas bersama kerajaan campuran Perikatan dari tahun 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.

Wakil PAS yang dilantik sebagai menteri ialah Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Anggota PBB yang dilantik menteri pula ialah Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya); Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); dan Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

Parti Bersatu Sabah pula menyaksikan Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dipilih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), manakala Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan, dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Saravanan Murugan (Menteri Sumber Manusia).

Sementara itu, dua individu profesional turut dilantik sebagai Senator untuk menjawat portfolio menteri iaitu Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan, dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

-- BERNAMA