‎Barisan Kabinet yang disusun baru-baru ini adalah langkah kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat dan dasar negara.‎

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pembaharuan Kabinet adalah demi peningkatan pencapaian dari segi tindakan, keputusan serta program dijalankan kerajaan kepada rakyat.

"Kerajaan sentiasa mahu melihat perubahan demi kebaikan serta tidak hilang fokus kepada rakyat.

"Ini kita kena semat dalam minda. Biar hari esok lebih baik dari hari ini, minggu depan lebih baik dari minggu ini dan bulan depan lebih baik dari bulan ini.

"Kabinet baru adalah azam dan tekad terbaik untuk mencapai segala aspirasi rakyat," katanya semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Sejumlah 13 gerai daripada jabatan dan agensi di bawah JPM turut memeriahkan majlis dengan hidangan makanan tradisi.

Pada majlis itu juga, Najib turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim selain sumbangan berjumlah RM15,000 kepada rumah-rumah kebajikan.‎

Kata Najib, kerjasama sebagai satu keluarga atau pasukan untuk saling membantu dan mempercayai adalah penting dalam Kabinet.

"Saya percaya perkhidmatan awam di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dapat melonjak pencapaian demi meraih wawasan negara.

"Ini yang mesti disematkan dalam minda dan ingatan. Sebagai sebuah kerajaan, kita akan sentiasa dapat melihat perubahan yang semakin positif dari apa yang kita lakukan," ujarnya.‎

Pada akhir Julai lalu, Najib mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rombakan Kabinet itu turut membabitkan pelantikan baru tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri.‎