Tutup

Kabinet luluskan penubuhan jawatankuasa khas teliti kewujudan mahkamah khas

Kabinet luluskan penubuhan jawatankuasa khas teliti kewujudan mahkamah khas
Mujahid menjelaskan jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara dan KWSP. - Astro AWANI / Shahir Omar
PARIT BUNTAR: Kabinet meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa khas bagi meneliti semua aspek berhubung cadangan mewujudkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Mujahid menjelaskan jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana sesuatu hukuman yang diputuskan oleh mahkamah tersebut kelak akan melibatkan transaksi kewangan.
"Kita perlu ada (pindaan) akta bagi Bank Negara dan KWSP kerana apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas suami, macam mana Bank Negara, KWSP nak beku duit dia untuk bayar nafkah," katanya dalam sidang media pada majlis Jamuan Aidilfitri 2019 Parlimen Parit Buntar di Dataran Kerian Permai di sini pada Sabtu.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata perbincangan oleh jawatankuasa khas itu dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini.
Inisiatif penubuhan mahkamah khas itu bagi mempercepatkan masalah perkahwinan dan penceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah selain membantu mengurangkan kes suami enggan membayar nafkah kepada isteri.

Dalam perkembangan lain, Mujahid meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan isu 10,000 kuota khas haji kerana pemberiannya merupakan hak mutlak Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.

"Kuota itu adalah hak Raja Salman, kalau dia nak bagi dan tidak bagi itu bukan isu kerajaan baharu (sekarang) kerana kerajaan lama (Barisan Nasional) pun pada 2014 hingga 2017 tidak dapat kuota itu.

"Isu kuota haji sekarang berada di peringkat teratas iaitu pada Raja Salman dan bukan di peringkat menteri.

"Selalunya Raja Salman bagi kuota di saat akhir dan kita mendoakan kalau diberikan kuota itu akan memberi peluang kepada bakal haji yang masih menunggu giliran dan yang membuat rayuan," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Mujahid Yusof Rawa, Bank Negara, mahkamah, Parlimen, Perdana Menteri, Arab Saudi, KWSP, EPF, Aidilfitri, kerajaan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.