Perbincangan Kabinet memutuskan tidak mahu perdana menteri direhatkan pada saat pelbagai isu semasa yang memburukkan nama ‎Datuk Seri Najib Tun Razak ‎termasuk artikel Wall Street Journal (WSJ).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pendirian Kabinet kini dalam satu keputusan dengan membenarkan proses berkenaan semua isu melibatkan Najib ‎berjalan seperti yang diperlukan.

"Kami sudah adakan perbincangan berkenaan isu semasa termasuk isu artikel Wall Street Journal.‎

"Perbincangan tersebut dimulakan oleh Najib yang menjelaskan kepada kami sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang seperti yang kita semua tahu.‎

"Tidak (meminta PM berehat seketika untuk disiasat), saya rasa Kabinet sangat bersatu dalam pandangan membenarkan proses berjalan seperti yang diperlukan," ‎katanya kepada pemberita selepas semasa Majlis Penyerahan Felo Perdana Kepada barisan Menteri Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini.

Sebanyak 83 Felo Perdana dari 50 universiti dalam dan luar negara terpilih untuk mengikuti program internship yang merupakan inisiatif daripada Kementerian Belia dan Sukan.‎

BACA: Najib Razak beri masa 14 hari kepada WSJ untuk respon

Pada Rabu, Najib meminta penerbit WSJ untuk menyatakan pendiriannya berhubung penerbitan dua artikel yang mendakwa wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke akaun peribadi miliknya.

Dalam surat bertarikh 8 Julai kepada penerbit WSJ, Dow Jones and Company Inc, firma guaman Najib Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata ia meminta syarikat itu untuk “memperjelaskan pendirian” bahawa adakah ia benar Najib telah menyeleweng sejumlah US700 juta (RM2.6 bilion) milik syarikat 1MDB.

BACA: Tidak ada pihak boleh minta Najib letak jawatan - Abdul Ghapur

Sebelum ini, Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya boleh meminta Najib untuk meletak jawatan berikutan tuduhan dan dakwaan terhadapnya baru-baru ini.

Katanya, permintaan itu tidak perlu dilayan, kerana Najib telah dipilih atas sokongan rakyat dan juga kepimpinan parti.