Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang oleh syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, ditamatkan 29 Mei.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selepas tarikh tersebut tiada lagi lanjutan akan diberikan kepada Ocean Infinity.

"Selepas 29 Mei, keputusan akan dibuat sama ada perincian laporan akan didedahkan kepada awam atau sebagainya," katanya selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Loke berkata kerajaan sebelum ini melanjutkan pencarian MH370 sehingga 6 Mei dan selepas kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran, Ocean Infinity membuat permohonan untuk melanjutkan pencarian sehingga 29 Mei.

Menurut Loke, lanjutan pencarian sehingga 29 Mei itu tidak melibatkan apa-apa bayaran kerana ia merupakan atas dasar "No Cure No Fee".

Sehingga 6 Mei, katanya jumlah kawasan pencarian yang terlibat ialah 76,000 km persegi dan lanjutan sehingga 29 Mei dijangka melibatkan kawasan pencarian seluas 7,000 km persegi.

MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.

-- BERNAMA