Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi membincangkan langkah-langkah segera yang diperlukan bagi menangani isu berkaitan, termasuk ekonomi negara, COVID-19, serta kos sara hidup.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata majlis itu akan dipengerusikan beliau sendiri dan turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan beberapa individu lain.

Majlis itu, jelas perdana menteri lagi, akan bermesyuarat seminggu sekali, iaitu pada Isnin dan keputusannya akan dibawa ke jemaah menteri pada Rabu.

“Ini bagi saya satu tindakan segera untuk menunjukkan kepada negara bahawa kita tidak berlengah. Kita minta pihak yang berkepentingan untuk kemukakan apa saja cadangan untuk dimaklumkan kepada EACPAC, selain apa yang kita tahu, supaya kita cari jalan untuk selesaikan masalah ini.

“Ini termasuk untuk menentukan kumpulan berhadapan masalah yang biasa disebut kumpulan B40,” katanya kepada sidang media di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu merupakan kali pertama bagi jemaah menteri selepas kesemua mereka selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati semalam.


Dalam sidang media itu, Muhyiddin turut mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan kerajaan dahulu akan dilihat semula bagi melihat keberkesanan dari segi jumlah peruntukan dan kumpulan sasar.

“Ini kita nak serahkan kepada MOF (Kementerian Kewangan) macam mana caranya, terutama untuk tentukan kumpulan sasar yang perlu dapat faedah daripada pakej itu, dapat kita berikan tumpuan.

“Selain itu, langkah mengembalikan keyakinan pelabur, kumpulan tertentu dapat perhatian utama kerajaan,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata keputusan dari semakan semula pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion itu akan diumumkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu dari sekarang.