Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula 'beli RM10, dapat RM10'.

Pendiriannya itu akan diketengahkan dalam pertemuannya dengan peneraju syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan seterusnya.

“Mesej awal yang difahami oleh syarikat telekomunikasi ialah – pertamanya, bayar RM10.60 untuk kad prabayar yang bernilai RM10 atau pun yang kedua, bayar RM10 tetapi selepas penolakan GST, pengguna dapat menggunakan kad prabayar bernilai RM9.43,” katanya dalam satu rancangan khas bersama RTM 1.

Namun selepas membuat tinjauan, Ahmad Shabery mendapati ramai mahukan kadar kad prabayar mereka bernilai seperti apa yang mereka telah bayar untuk setelah diaktifkan.

BACA: Kad prabayar: Hanya Shabery boleh buat pengumuman - Najib

"Sebab itu saya ambil keputusan ini kerana ia kehendak rakyat. Saya akan ikut apa rakyat nak.

“Perkara ini tidak mustahil untuk diusahakan. Saya ada beberapa hari lagi untuk berjumpa dengan CEO syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mencari satu mekanisme sebelum saya dapat membentangkan kepada kabinet,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau pro-rakyat.

Beliau juga berkata disebabkan oleh rantaian sistem yang rumit masalah yang telah timbul ini tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari atau dua.

Sehingga perkara itu diputuskan beliau berharap agar rakyat dapat bersabar kerana untuk membuat konfigurasi semula pada sistem bagi menyelaraskan harga jualan bukan perkara yang mudah.

BACA: Perkhidmatan jalur lebar di luar bandar terus diberi penekanan - Ahmad Shabery

FOTO: GST: Satu pembaharuan penting memperkukuh ekonomi negara

Beliau menjelaskan sehingga perkara itu diputuskan dalam masa terdekat, jualan kad prabayar telefon akan dibuat menggunakan harga sekarang iaitu dengan tambahan enam peratus GST.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini mengarahkan syarikat telekomunikasi agar menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei itu ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat kenyataan bahawa agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula pada sistem bagi menyelaraskan harga jualan.

Terdahulu, ditanya perasaannya apabila diminta Najib untuk mengendalikan isu kad prabayar, Ahmad Shabery berkata beliau terkejut ketika dimaklumkan tentang tugas itu.

"Arahan beliau (Najib) tunjukkan beliau mahu seluruh menteri berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi perkara seperti ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata, ini menunjukkan bahawa kerajaan serius menangani apa juga isu yang mempunyai kepentingan rakyat.