Malaysia perlu melaksanakan polisi ketelusan data, serta memastikan mikrodata dari sumber yang tidak diketahui mudah diakses oleh golongan penyelidik, kata Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston.

Dalam laporan yang diterbitkan PBB hari ini, Alston berkata, kerajaan juga perlu menilai kembali garis kemiskinan, selari dengan standard antarabangsa, dan memasukkan populasi bukan warga negara yang terdedah dalam kumpulan itu.

Ia merupakan dua daripada sembilan cadangan beliau untuk rujukan Malaysia dalam usaha menyelesaikan beberapa masalah yang membelenggu negara ini, terutamanya mengenai kemiskinan tegar dan pengurusan warga asing.

“Malaysia telah mencapai kejayaan luar biasa dari segi pertumbuhan ekonomi, dan melakukan usaha yang hebat untuk mengurangkan kemiskinan tegar. Tidak lama lagi Malaysia akan berada dalam kategori negara maju.

“Tetapi, kaedah rasminya dalam menilai kemiskinan tegar, telah menghasilkan kadar kemiskinan negara pada paras 0.4 peratus, paras terendah di dunia. Kerajaan lepas (Pakatan Harapan) telah berjanji akan menilai semula kadar ini, tetapi Kerajaan kini (Perikatan Nasional) mengatakan kadar itu adalah tepat,” katanya dalam laporan itu.

Alston, yang mengadakan lawatan ke Malaysia antara 13 hingga 23 Ogos tahun lepas berkata, ia merupakan sesuatu yang sangat membimbangkan kerana garisan itu bukan sahaja tidak tepat, dan dianggap tidak tepat dari peringkat global.

Pelapor khas itu berkata, garis sebenar kemiskinan di Malaysia sangat rendah, iaitu sekitar RM980 sebulan untuk empat orang ahli dalam satu keluarga, atau sekitar RM8 sehari.

“Penggunaan garis kemiskinan yang tidak realistik hanya memberikan gambaran yang lebih kabur mengenai jutaan rakyat, baik yang tinggal di kawasan bandar, mahupun di kawasan pendalaman.

“Menafikan skala garis kemiskinan yang tepat akan memburukkan masalah sedia ada, dengan memberi justifikasi kepada usaha yang lebih konklusif untuk menyelesaikan isu itu,” katanya lagi.

Selain isu kemiskinan, Alston turut membangkitkan masalah seperti pengurusan warga asing, hak asasi manusia, hak orang kurang upaya, ketidaksamaan jantina, perubahan iklim, serta pengurusan warga tua.

Dalam laporan itu, Alston turut menyarankan pelan yang lebih komprehensif untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di kalangan orang Asli, selain menyediakan perlindungan kesihatan, pendidikan, dan tanah adat untuk golongan itu.