Kadar jenayah di Negeri Sembilan turun 9.25 peratus atau 340 kes kepada 3,334 kes pada tahun lepas berbanding 3,674 kes pada tahun 2018.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata 6,039 kertas siasatan jenayah telah dibuka pada tahun lepas dan jumlah dituduh 2,915 iaitu 48.2 peratus melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) telah ditetapkan sebanyak 45 peratus.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri Sembilan pula mencatatkan 2,046 kes pada tahun 2019 berbanding 1,499 kes pada tahun 2018, iaitu peningkatan 547 kes (36.6%) dengan kerugian sebanyak RM56.5 juta.

"Kes Macau Scam, Love Scam, kes pinjaman tidak wujud dan tipu SMS dalam talian adalah penyumbang utama terhadap peningkatan kes bagi tahun lepas.

"Bagaimanapun, JSJK berjaya menyelesaikan 702 kes iaitu 34.3 peratus bertepatan dengan sasaran ditetapkan iaitu 30 peratus berbanding 382 kes atau 25.5 peratus pada tahun lepas. Secara keseluruhannya, JSJK berjaya mencapai sasaran tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata mengenai pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, nilai rampasan dadah bagi tempoh 2019 adalah RM1.8 juta berbanding tahun 2018 sebanyak RM9.3 juta manakala jumlah harta yang disita bagi tahun lepas adalah RM4.1 juta berbanding tahun sebelumnya, RM3.7 juta," katanya.

Katanya, bagi pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik pula mencatatkan jumlah kemalangan 25,838 kes pada tahun lepas berbanding 25,123 kes pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan 715 kes.

"Jumlah kes kemalangan maut dan kematian mencatatkan penurunan iaitu 313 kes kemalangan maut dengan 337 kematian pada tahun 2019 berbanding 341 kes dengan kematian 362 pada tahun 2018.

"Statistik tangkapan samseng jalanan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 mencatatkan peningkatan iaitu 224 kes pada tahun 2019 berbanding 169 kes pada tahun 2018," katanya.

Mohamad berkata pada keseluruhannya prestasi setiap jabatan di kontinjen Negeri Sembilan mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh pucuk kepimpinan.

-- BERNAMA