Kadar jenayah di Perlis bagi tempoh Januari hingga 25 September tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 15.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Negeri SAC Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata sebanyak 463 kes dicatatkan dalam tempoh itu tahun ini berbanding 546 kes tahun lepas iaitu turun sebanyak 83 kes.

"Jumlah itu membabitkan jenayah ragut, pecah rumah dan curi motosikal," katanya selepas menyampaikan cek kepada penerima Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, hari ini.

Beliau berkata faktor penurunan kadar jenayah di negeri ini dibantu Rakan Cop yang menjadi mata dan telinga polis.

"Keberkesanan agensi penguatkuasaan undang-undang amat bergantung pada kerjasama dan sokongan orang ramai. Jadi dengan adanya Rakan Cop atau Rakan Polis ini, sedikit sebanyak membantu dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis, katanya.

Ab Rashid berkata Perlis mempunyai lebih daripada 3,000 Rakan Cop dalam usaha membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah di negeri ini.

Terdahulu, seramai 16 pegawai dan anggota polis yang sudah bersara, balu dan waris mereka menerima bantuan khairat kematian dan bencana alam.

Ab Rashid berkata setiap penerima khairat kematian menerima RM500 hingga RM1,000 manakala penerima bantuan bencana alam pula sebanyak RM1,500 seorang.

Tabung itu katanya, diwujudkan bagi membantu dan menjaga kebajikan pegawai dan anggota polis yang sudah bersara mahupun waris bagi anggota yang telah meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, Ab Rashid mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana banjir pada tahun ini.

“Memandangkan keadaan cuaca tidak menentu sekarang ini, kita sentiasa memantau keadaan cuaca dan telah membuat persediaan awal," katanya. - BERNAMA