Tutup

Kadar kemalangan maut di tempat kerja berkurang - Mahfuz

Kadar kemalangan maut di tempat kerja berkurang - Mahfuz
MAHFUZ: Program Minggu Bebas Kemalangan di Tempat Kerja disambut baik oleh 430,000 pekerja dan majikan yang merangkumi lebih 1,000 tempat kerja di seluruh Malaysia.
GURUN: Kadar kemalangan maut di tempat kerja pada tahun 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menganggap kesedaran majikan serta pekerja berkenaan kepentingan tempat kerja yang sihat serta selamat menjadi punca utama kepada penurunan terbabit.

Tambah beliau, kadar kemalangan biasa turut menunjukkan perubahan positif apabila berkurang sebanyak 18 peratus antara tahun 2017 dan 2018..

Namun demikian, beliau berharap semua pihak terlibat tidak cepat berpuas hati memandangkan banyak lagi usaha perlu dilaksanakan agar usaha dan misi kerajaan ke arah visi sifar kemalangan dapat direalisasikan.
"Pada tahun 2018, kadar kemalangan di tempat kerja telah menurun sebanyak 18 peratus iaitu 2.40 (kes) bagi setiap 1,000 pekerja berbanding 2.93 per 1,000 pekerja pada 2017.

“Kemalangan maut pada 2018 juga menurun sebanyak 14 peratus iaitu 4.14 per 100,000 pekerja berbanding 4.90 per 100,000 pekerja pada 2018. Penurunan kadar ini sebenarnya menunjukkan para majikan dan pekerja semakin sedar untuk pastikan tempat kerja mereka selamat dan sihat,” ujar Mahfuz.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 2019 di Dewan Sukan Kriss, Gurun, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz turut menyatakan bahawa program Minggu Bebas Kemalangan di Tempat Kerja disambut baik oleh 430,000 pekerja dan majikan yang merangkumi lebih 1,000 tempat kerja di seluruh Malaysia.

Perkembangan terbabit menunjukkan konsep peraturan kendiri difahami sepenuhnya oleh majikan dan pekerja dalam mengawal risiko dan bahaya yang mungkin berlaku di tempat kerja.


Tag: mahfuz omar, kemalangan maut, kemalangan tempat kerja, majikan, pekerja, visi sifar kemalangan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.