Mulai 15 Okt, 18 syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang akan mengenakan kadar baharu bagi laluan tol, dengan kenaikan antara 10 sen dan RM3.

Kadar baharu itu membabitkan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Lebuhraya SMART, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE/Grand Saga), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Jurucakap ANIH Berhad berkata kadar tol baharu KLK di Plaza Tol Gombak adalah RM6 (kelas satu), RM12 (kelas dua), RM18 (kelas tiga), RM3 (kelas empat) manakala kelas lima kekal RM5.

"Bagi Plaza Tol Bentong pula, kelas satu RM3.50, kelas dua RM7, kelas tiga RM10.50, kelas empat RM1.80, dan kelas lima masih kekal RM3," katanya sepertimana dipetik Bernama, di sini, hari ini.

Kelas satu adalah untuk kereta, kelas dua bagi lori kurang daripada satu tan, kelas tiga lori besar dan treler, kelas empat teksi dan kelas lima untuk bas.

Sementara itu bagi MEX, Maju Expressway Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata kadar tol baharu bagi Plaza Tol Salak Selatan adalah RM2 (kelas satu), RM4 (kelas dua), RM6 (kelas tiga), RM1 (kelas empat) dan RM1.50 (kelas lima).

Kadar baharu bagi Plaza Tol Putrajaya ialah RM3.50 (kelas satu), RM7 (kelas dua), RM10.50 (kelas tiga), RM1.80 (kelas empat) dan RM2.50 (kelas lima).

Dalam pada itu, SILK Holdings Berhad berkata kadar tol baharu bagi SILK adalah RM1.80 (kelas satu), RM3.60 (kelas dua), RM5.40 (kelas tiga), 90 sen (kelas empat) dan RM1 (kelas lima).

Bagi DUKE, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd mengumumkan, kadar tol baharu bagi Plaza Tol Ayer Panas, Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Kampung Batu ialah RM2.50 bagi kelas satu, RM3.80 (kelas dua), RM5 (kelas tiga), RM1.30 (kelas empat) dan kekal RM1.30 bagi kelas lima.

Sementara itu Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd turut mengumumkan kadar tol baharu bagi Terowong SMART ialah RM3.

Bagi LATAR pula, KL-Kuala Selangor Expressway Berhad mengumumkan kenaikan kadar tol baharu bagi lebuh raya itu melibatkan Plaza Tol Ijok, Plaza Tol Kuang Timur, Plaza Tol Kuang Barat dan Plaza Tol Templer iaitu RM2.50 bagi kelas pertama, RM5 (kelas dua), RM7 (kelas tiga), RM1.30 (kelas empat) manakala kelas
lima kekal pada RM2.

Dalam pada itu, BESRAYA (M) Sdn BHD turut mengumumkan penyelarasan struktur kadar tol di Plaza Tol Mines (Utara dan Selatan) iaitu RM2 bagi kelas pertama, RM4 (kelas dua), RM4 (kelas tiga), dan RM2 (kelas empat) manakala kelas lima kekal pada RM1.30.

Bagi NPE pula, New Pantai Expressway Sdn Bhd dalam kenyataan mengumumkan kadar tol baharu bagi Plaza Tol Pantai Dalam dan Plaza Tol PJS5 bagi kelas pertama ialah RM2.30, RM4.60 (kelas dua), RM6.90 (kelas tiga), RM1.20 (kelas empat) dan kelas lima kekal pada RM1.60.

"Bagi Plaza Tol PJS2, kadar tol baharu bagi kelas pertama kekal pada RM1, manakala kelas dua (RM4.60), kelas tiga (RM6.90), kelas empat (RM1.20) dan kelas lima kekal pada RM1.60," menurut kenyataan itu.

Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan kadar tol di plaza kendaliannya naik antara 10 sen dan RM1.60.

Pengurus Besar LLB, Adnan Ariffin berkata, kadar baru tol bagi kelas pertama di Plaza Tol Perai, adalah RM1.50 berbanding RM1.30, kelas kedua RM3.00 berbanding RM2.60, dan kelas tiga RM4.50 berbanding RM3.60.

Di Plaza Tol Bagan Ajam, kadar tol bagi kelas pertama adalah RM1.50 berbanding RM1.20, kelas kedua RM3.00 berbanding RM2.60 dan kelas tiga RM4.50 berbanding RM3.60.

Sementara di Plaza Sg Nyior, kadar baru tol bagi kelas pertama adalah RM1.20 berbanding 70 sen, kelas kedua RM2.40 berbanding RM1.00 dan kelas tiga RM3.60 berbanding RM2.00.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa kadar tol di semua lapan lebuh raya kendalian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kekal.

Kementerian Kerja Raya, dalam perkembangan berkaitan, dipetik agensi berita itu sebagai berkata bahawa penyelarasan kadar tol yang bermula Khamis ini hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar sahaja.

Kali terakhir kadar tol dinaikkan adalah pada 1 Mac 2009 melibatkan PLUS, SPRINT, AKLEH, BESRAYA dan NPE manakala tiada kenaikan oleh syarikat konsesi tol lain sejak 2008.