Selain had umur, klausa undang-undang syariah yang mengatakan seseorang dibenarkan berkahwin dengan kebenaran hakim jika sudah mencapai baligh ialah satu perkara yang perlu diperhalusi.

Menurut peguam Latheefa Koya, itu antara kelemahan sistem perundangan Malaysia yang mana tidak mengambil kira usia kanak-kanak perempuan baligh adalah bermula pada umur 9 atau 10 tahun.

Jelasnya, sesiapa sahaja yang berusia di bawah 18 tahun ialah kanak-kanak, malah dalam perundangan jelas menunjukkan banyak perkara tidak boleh dilakukan oleh mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Justeru, katanya ada pihak yang tidak mengambil kira soal tanggungjawab perkahwinan, melahirkan anak dan sebagainya ke atas seorang kanak-kanak perempuan yang dikahwinkan hanya kerana dia sudah baligh.

“Perkara ini adalah sesuatu yang serius kerana mana-mana pihak yang mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak sama ada berkahwin atau tidak adalah salah dan merupakan satu jenayah.

“Dan sekiranya kanak-kanak itu sudah berkahwin dengan lelaki itu, adakah itu bukan jenayah lagi? Itu adalah masalahnya,” jelas Latheefa ketika dihubungi Astro AWANI.

Latheefa berharap agar kerajaan baharu dapat meminda akta undang-undang ini segera bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang menghalalkan perkara yang salah.

"Mengahwini seorang kanak-kanak itu satu perkara yang tak boleh diterima. Ia perlu diletakkan di bawah perkara jenayah dan tindakan perlu diambil dengan segera.

“Memandangkan Parlimen akan bersidang 9 Julai ini, saya percaya tiada alasan untuk melengah-lengahkan masalah ini,” katanya.

Latheefa juga berharap masyarakat sentiasa cepat bertindak sekiranya berdepan dengan kes-kes perkahwinan di bawah umur dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Laporan polis perlu dibuat dengan segera dan kanak-kanak itu perlu diselamatkan daripada bersama dengan orang itu.

“Kita tak boleh melihat ‘Oh, dia dah kahwin dengan lelaki itu, maka perempuan itu kepunyaan lelaki itu’... itu pemikiran yang membimbangkan,” tegasnya.