Perkahwinan kanak-kanak bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah merencatkan pembangunan pendidikan kumpulan bawah umur itu.

Wakil Negara Malaysia bagi Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA), Marcela Suazo menjelaskan, seorang kanak-kanak yang berkahwin dan kemudian hamil akan kerugian sekurang-kurangnya dua tahun dalam pelajaran.

"Salah satu perkara yang kita perlu analisa semula ialah apa yang berlaku kepada kanak-kanak perempuan itu apabila dia berkahwin dan kemudian mengandung selepas itu.

"Dia akan kehilangan sekurang-kurangnya dua tahun waktu persekolahan apabila dia kembali ke sekolah," katanya semasa Wacana secara maya UNFPA Malaysia mengenai usaha mengakhiri perkahwinan kanak-kanak di Malaysia pada Jumaat.

Malah, satu lagi perkara paling dibimbangi ialah perkahwinan kanak-kanak merisikokan nyawa seorang ibu bawah umur apabila melahirkan anak pada usia yang sangat muda.

"Satu perkara lagi ialah ia merisikokan hidupnya, meningkatkan kadar kematian kelahiran dan ibu mengandung. Pada masa sama, ia memadamkan peluang kanak-kanak itu untuk membangunkan hidupnya," ujarnya lagi.

Beliau percaya bahawa tiga perkara perlu diberi tumpuan dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak.

Pertama, membuka lebih banyak ruang dialog yang melibatkan pihak berkepentingan termasuk keluarga dan agamawan.

"Saya rasa langkah ini penting memandangkan mereka ada dalam komuniti masyarakat berkenaan. Pentingnya, semua pihak bersama-sama membincangkan perkara ini," ujar beliau.

Selain itu, semua pihak perlu memahami mengenai hak seorang kanak-kanak.

"Kanak-kanak juga ada hak. Berhenti membuat keputusan untuk seorang kanak-kanak. Mereka akan membesar dan mencari hala tuju mereka sendiri," kata beliau.

Pada masa sama, beliau mencadangkan satu platform perundangan diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi serta pendidikan mereka terpelihara.

"Melaluinya, mereka ada akses untuk mendapatkan sokongan dan perkhidmatan," ujarnya.

Sumber Facebook UNFPAMalaysia