Kos pengendalian tinggi menyebabkan kerajaan kini mengkaji kemungkinan memperkenalkan akta baharu bagi mengawal aktiviti pembiayaan dan dana bagi parti-parti politik.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jalan penyelesaian isu keperluan dana akan diselesaikan walaupun mengakui ia proses yang sangat sukar untuk kerajaan.

"Tanpa dana, mereka (parti politik) tidak boleh berfungsi. Ini kerana kos mengendalikan parti politik kini sangat tinggi dan ia meningkat setiap masa. Justeru, kita mesti mempunyai sumber dana, tapi ia mesti sah dan diperakui oleh kerajaan.

"Kerajaan kini melihat bagaimana dana ini tidak boleh dianggap sebagai rasuah kepada parti politik," katanya semasa sidang media selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.


Di dalam NACP, Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu memperkenalkan rang undang-undang baharu berkaitan pembiayaan politik termasuk kesalahan melobi, menjelang Disember 2020.

Ia sebahagian daripada inisiatif memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, undang-undang berkaitan perbiayaan dana parti politik di negara ini kini di peringkat akhir.

Jelasnya, semua parti politik secara prinsipnya menyokong undang-undang ini kerana masing-masing mahu mengamalkan budaya integriti dalam pembiayaan dana politik.