Kementerian Wilayah Persekutuan meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah pentadbirannya untuk mengkaji semula cadangan mengendalikan bazar Ramadan dan jualan hari raya Aidilfitri sempena musim perayaan akan datang.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun, perkara tersebut perlu mengambil kira saranan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan negara masih lagi dalam krisis wabak pandemik COVID-19.

"Saya telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Perbadanan Labuan (PL) untuk mengkaji semula cadangan mengendalikan bazar Ramadan dan jualan raya sepanjang bulan puasa dan musim raya.

"Ini juga harus ambil kira pandangan daripada KKM. Apa pun prosedur operasi standard (SOP) untuk pasar dan bazar perlu di ubahsuai.

"Aspek penjarakan sosial (social distancing) dan kebersihan wajib di utamakan," katanya menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya di sini, semalam.

Kerajaan Negeri Sembilan pada minggu lalu mengumumkan bazar Ramadan di negeri berkenaan dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, keputusan tersebut dicapai selepas mengambil kira keadaan semasa ketika ini.

BACA: COVID-19: Tiada bazar Ramadan di Negeri Sembilan tahun ini

Pada Ahad, kerajaan Kelantan pula memberi bayangan bahawa negeri berkenaan akan mengikut jejak langkah Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri itu belum memutuskan secara muktamad berhubung perkara itu dan akan menelitinya berdasarkan keadaan semasa penularan wabak COVID-19 ketika ini.

BACA: Mungkin tiada bazar Ramadan di Kelantan tahun ini - MB