Kerajaan perlu mengkaji semula setiap perjanjian konsesi-konsesi tol terutama dalam kenaikan kadarnya yang tidak seimbang.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, majoriti perjanjian itu harus dikaji semula bagi mengikut peredaran zaman selain perlu mesra rakyat selaku pengguna.

"Saya lihat kini ianya lebih menguntungkan suatu pihak sahaja iaitu pemegang konsesi. Saya rasa ia harus ada situasi menang menang di mana kepentingan kedua-dua pihak harus dijadikan keutamaan.

"Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di negara ini belum bersedia menanggung atau menyerap sebahagian kos kadar tol yang dikenakan terhadap pengguna berikutan terpaksa menanggung beban kewangan tinggi," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

TONTON: PSKLM: Kenaikan tol masih belum muktamad

TONTON: Isu tol: Kerajaan mempunyai dua pilihan


Sebelum ini, Yang Dipertua Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Ir Zainudin A Kadir dilaporkan berkata, penyelarasan kadar tol baharu perlu mengambil kira faktor keperluan aliran pendapatan syarikat-syarikat konsesi.

Jelasnya, ia perlu menjadi lebih stabil supaya menjadi berdaya maju dan mampu melunaskan hutang, menanggung kos operasi sedia ada serta meningkatkan kualiti lebuh raya.

Dalam pada itu kata Armand, kerajaan juga tidak harus membezakan perundingan dengan syarikat konsesi tol seperti yang dilakukan kepada pengeluar tenaga bebas (IPP).

"Saya mohon kerajaan mengkaji semula perjanjian konsesi tol yang sememangnya wajar kerana syarikat terbabit sudah mengaut untung tinggi hasil daripada peningkatan lalu lintas yang mengatasi ramalan awal.

"Saya berpendapat, faktor keuntungan tinggi dan peningkatan lalu lintas itu sepatutnya dijadikan alasan oleh kerajaan untuk mengkaji semula konsesi tol atau sekurang-kurangnya mendapatkan diskaun daripada syarikat konsesi agar ianya tidak membebani rakyat," ujarnya.

Armand turut memohon kerajaan agar mengkaji semua perjanjian dan dasar lama yang tidak mesra rakyat agar mengikut peredaran zaman.

"Saya yakin pihak kepimpinan negara prihatin terhadap kepentingan rakyat yang harus dijadikan keutamaan.

"Saya dengan rendah diri memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan ini buat kepentingan rakyat dan pentadbiran negara," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah menambah baik terma-terma perjanjian berkenaan kenaikan kadar tol dengan syarikat konsesi lebuh raya sedia ada.

Jelasnya, antara terma yang ditambah baik itu ialah memansuhkan kenaikan kadar tol secara automatik walaupun sudah ditetapkan tempoh masa tertentu bagi kenaikan dalam perjanjian sebelum ini.