Tutup

Kajian kesejahteraan rakyat tak boleh dipandang sambil lewa - Pakar

Kajian kesejahteraan rakyat tak boleh dipandang sambil lewa - Pakar
Zarinah berkata, rakyat tidak perlu panik kerana kajian tersebut cuma melibatkan segelintir masyarakat mengenai kesejahteraan rakyat pada masa ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan oleh EMIR Research terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang dijalankan baru-baru ini tidak boleh dipandang sambil lewa oleh semua pihak.

Hal ini kerana, walaupun kajian itu melibatkan responden yang kecil, ia petunjuk untuk kerajaan memahami bahawa terdapat sebahagian rakyat yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr Zarinah Yusof, isu seperti kos sara hidup, perumahan dan peluang pekerjaan merupakan keperluan penting yang rakyat mahukan.

“Kita tak boleh juga nak mengambil sambil lewa hasil kajian ini sebab kajian ini boleh juga digunakan sebagai satu petunjuk yang menunjukkan terdapat sebahagian masyarakat yang masih tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang.
“Walaupun kerajaan telah melakukan banyak insentif-insentif, perancangan dan pembangunan, masih ada lagi rakyat yang bimbang dengan situasi ekonomi sekarang,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Niaga AWANI pada Jumaat.

Zarinah berkata, rakyat tidak perlu panik dengan dapatan kajian itu kerana ia cuma melibatkan segelintir masyarakat mengenai kesejahteraan rakyat pada masa ini.

“Kajian ini hanya melibatkan pandangan 1,992 orang responden daripada penduduk kita yang melebihi 30 juta."



Dalam pada itu, jelasnya, laporan kerajaan berkenaan inflasi terkawal tidak mencerminkan keadaan sebenar, kerana realitinya, rakyat bimbang dengan harga barangan runcit yang ada di pasaran.

Hal ini kerana, katanya, harga barangan basah di pasaran adalah lebih tinggi berbanding harga yang ditetapkan Jabatan Perangkaan.

Begitu juga dengan laporan inflasi 2019 yang menunjukkan kenaikan harga hanya pada 0.9 peratus sahaja, katanya. 



"Ini hanya laporan statistik sahaja. Apa yang berlaku pada keadaan sebenar tidak begitu. Kerana, kalau kita lihat daripada kajian ini, rakyat tidak berpuas hati dengan kos hidup yang tinggi.

"Kita ambil contoh bahan basah. Kalau diikutkan laporan Jabatan Perangkaan, yang turut menyenaraikan beberapa kawalan harga barangan, sebagai contoh, kategori makanan laut seperti ikan kembung, ia ditetapkan pada RM14 satu kilogram (kg).

"Namun realitinya tidak begitu. Kerana, kebanyakan kedai menjual ikan kembung pada harga di antara RM20 dan RM23 satu kg. Itu sekali gus menunjukkan ia dijual jauh lebih tinggi daripada apa yang statistik itu keluarkan," kata Zarinah.

Kajian tersebut dijalankan terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) bermula 5 September hingga 10 Oktober 2019, melibatkan 1,992 responden berusia antara 31 dan 50 tahun, di seluruh negara.