Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Mesyuarat Penyediaan Laporan Interim Perjanjian Malaysia (MA63) akan diadakan di sini dari 22 sehingga 24 April ini, manakala kajian terhadap MA63 itu dijangka siap pada bulan Jun.

Beliau berkata sekiranya ada isu-isu berbangkit berkenaan Perkara 8 di bawah MA63 yang ingin dikemukakan oleh wakil rakyat iaitu berkaitan dengan hak-hak Sabah untuk dimasukkan sebagai satu isu tambahan kepada isu yang telah dikemukakan oleh kerajaan negeri, ia amat dialu-alukan.

"Sekiranya ada, saya berharap wakil rakyat berkenaan menyatakan isu spesifik, justifikasi dan rekomendasi, bagi memudahkan perbincangan dan kajian oleh kerajaan persekutuan," katanya dalam ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Khamis.

Mohd Shafie turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kerana sepakat menyokong usaha untuk menuntut hak-hak negeri yang terkandung dalam MA63.

"Kesepakatan ini menunjukkan Sabah memiliki satu suara demi kepentingan rakyat. Perkara 8 MA63 sememangnya menjadi intipati utama dalam tuntutan hak-hak Sabah yang telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dikaji dan diteliti dalam Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengkaji MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri," tambahnya. -- Bernama