Adakah Wawasan 2020 akan dicapai pada tahun depan? Apakah pendapat generasi milenial (anak muda) berhubung perkara ini?

Berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh portal Vase.ai, 53 peratus undian yang dibuat ke atas kumpulan milenial berpendapat Malaysia memerlukan lebih masa untuk merealisasikan Wawasan 2020, manakala 17 peratus lagi tidak mempunyai harapan visi itu akan dicapai.

Menurut Vase.ai, seramai 1,048 rakyat Malaysia (milenial) mengambil bahagian dalam kajian itu yang bertujuan untuk mengumpul pendapat mereka berkenaan prospek pertumbuhan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Berdasarkan kajian tersebut, hampir 80 peratus responden berkata kerajaan memerlukan lebih daripada lima tahun lagi untuk mencapai Wawasan 2020.

Menurut mereka, Malaysia perlu mengutamakan tiga aspek iaitu ekonomi (76%), pendidikan (73%) dan teknologi, telekomunikasi & infrastruktur internet (71%) untuk mencapai Wawasan 2020.

Walaupun Malaysia telah mengungguli sektor teknologi, telekomunikasi & infrastruktur internet, majoriti (95%) rakyat Malaysia berpendapat sistem pendidikan di negara ini perlu diperbaiki.

Menurut responden, kerajaan perlu meningkatkan taraf sistem pendidikan di Malaysia dan guru sekolah harus mempunyai kerja pentadbiran yang lebih rendah untuk memberi tumpuan kepada kemahiran mengajar.

Selain itu, mereka juga berpendapat masyarakat mempunyai peranan penting dalam membantu negara mencapai Wawasan 2020. Oleh itu, mereka berharap kerajaan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di sektor awam dan juga memberi gaji yang lebih baik untuk sektor awam dan swasta.

Apa pandangan terhadap perkara ini? Kongsikan kepada kami.